Parenting DIY

Memulakan tradisi Ramadhan yang berbeza

Saya ada menyimpan azam kecil sempena Ramadhan tahun ini, fokusnya kepada pengalaman anak- anak berpuasa. Sudah tentu saya mahu mula melatih Aliyah dan Adam berpuasa dengan lebih baik kerana mereka sudah pun menginjak usia 8 dan 6 tahun.

Semasa membesar, pengalaman berpuasa lebih cenderung kepada aktiviti menunggu waktu berbuka (mandi sungai, termenung dan melepak depan tv). Selain itu kenangan yang paling diingat sudah tentunya juadah- juadah istimewa yang disediakan oleh Emak dan juga Opah/ Atok saya (mereka ni suka betul memasak). Peristiwa penting yang melibatkan aktiviti surau sepanjang bulan Ramadhan semasa kecil ialah program moreh, hanya sekali saja dalam sebulan, mengikut giliran keluarga- keluarga yang terlibat.

Apabila sudah berkeluarga, saya tidak mewarisi hobi memasak di bulan puasa, cukup sekadar menyediakan makan malam, seperti hari- hari biasa saja. Suami akan membeli juadah kegemaran seperti tepung pelita atau murtabak sebagai tambahan sahaja. Ada harinya, tiada juadah dari pasar Ramadhan pun. Yang lebih penting bagi saya ialah pilihan juadah yang tidak memudaratkan perut di malam hari, atau esok pagi. Memang banyak makanan yang sedap di tekak, tapi tidak sihat di usus di bulan puasa, memang kami elakkan.

Untuk bersahur, lagi lah mudah. Saya dan suami hanya makan “overnight oat” bersama kurma, dan minum protein shake sahaja. Aliyah biasanya mahu makan nasi bersama telor mata kerbau, dan dan Milo suam dibancuh dengan susu tepung.

Apabila saya memikirkan tentang azam Ramadhan,  saya mahu ianya bukan sekadar memberi perhatian kepada latihan berpuasa dan juadah berbuka puasa semata- mata. Tetapi saya mahu memperkenalkan keindahan pengalaman berbuka puasa, solat berjemaah, berterawih di masjid/ surau kepada anak- anak.

Tahun ini saya mahu beri definisi baru kepada kemeriahan Ramadhan kepada anak- anak. Walaupun tidak dapat sepenuhnya ke masjid/ surau untuk berterawih, tetapi saya telah sedikit sebanyak memberikan pendedahan kepada mereka tentang kemeriahan sebenar Ramadhan.

Tahun lepas, hanya sekali sahaja kami bawa anak- anak ke masjid. Kami berbuka di Masjid Sultan Abdul Aziz, Shah Alam, langsung berterawih. Anak- anak sangat enjoy, apatah lagi kami buat pot luck dengan keluarga sahabat saya, Aishah. Selebihnya, sepanjang Ramadhan tahun lepas, kami berbuka puasa di rumah, dan berterawih di rumah (itu pun bukan setiap malam).

Tahun ini, di awal Ramadhan, kami berbuka puasa di rumah mertua, di rumah keluarga saya di kampung dan selebihnya di rumah. Saya bawa anak- anak ke surau di dalam condo ini, dan ajak mereka berjemaah bersama- sama. Dapat juga berterawih dengan mertua di rumah mereka. Dan semalam, saya dan suami telah bersetuju untuk berbuka puasa di masjid, terus solat berjemaah sehinggalah habis terawih.

Sejujurnya berbuka puasa di masjid di KL ini jauh lah lebih meriah berbanding di surau kampung saya. Kampung saya kini didiami oleh ramai warga emas yang sudah uzur, yang lebih selesa berbuka puasa di rumah saja. Kemeriahan solat terawih tu masih ada, tetapi tidaklah semeriah masjid besar berhampiran kediaman saya sekarang. Sudah tentu tidak boleh dibuat perbandingan, tetapi saya fikir ini adalah peluang terbaik untuk saya beri pengalaman Ramadhan yang berbeza kepada anak- anak.

Pada pendapat saya, Ramadhan datang setahun sekali sahaja. Jadi pengalaman dan didikan yang diterapkan selama sebulan ini banyak akan membentuk pemikiran mereka di masa akan datang.

Bila sebut Ramadhan, adakah mereka akan ingat keletihan seharian lapar dan dahaga, atau ingat makanan yang sedap -sedap, atau ingat seronoknya berbelanja di pasar, atau teringat kemeriahan berbuka bersama keluarga, atau terkenang kemanisan beribadat bersama- sama. Saya fikir, sebagai seorang ibu, saya mampu dan boleh menentukannya, Insha Allah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *